Ulasan Kritis: Dasar Luar Malaysia (Era Tunku Abdul Rahman dan Tun Dr. Mahathir)



Pemilihan dua perdana menteri Malaysia iaitu Tunku Abdul Rahman dan Tun Dr. Mahathir di dalam penulisan di atas adalah disebabkan keistimewaan yang tampak jelas pada dua tokoh ini dalam merangka dasar-dasar luar dalam dua era yang berbeza. Era pertama ialah selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dan era kedua ialah selepas Malaysia mula menuju ke arah mencapai negara maju. Perbezaan yang ketara ini menunjukkan bahawa dasar-dasar luar yang dirangka oleh perdana Menteri kita iaitu Tunku Abdul Rahman dan Tun Dr. Mahathir adalah berpandukan kepada kehendak semasa pada waktu tersebut bagi mewujudkan sebuah dunia yang sejahtera di mana warganya dapat berkongsi keadilan, kesaksamaan dan keamanan.

            Pertama, kita pergi dahulu kepada perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Tunku Abdul Rahman. Beliau juga digelar sebagai Bapa Kemerdekaan disebabkan jasanya yang telah memerdekakan Tanah Melayu melalui rundingan dengan pihak British. Tanpa disedari, walaupun Malaysia sudah mencapai kemerdekaan namun ia bukan jaminan bahawa negara ini sudah boleh terus berdiri dengan stabilnya. Hal ini dikatakan demikian kerana, Malaysia pada waktu tersebut boleh diibaratkan seperti sebuah negara yang baru walhal pada hakikatnya sudah lama wujud. Jadi dengan rasional bahawa negara ini memerlukan bantuan dari negara maju untuk membangun yakni pihak Barat dan ditambahkan lagi dengan nilai-nilai barat yang wujud di dalam diri Tunku maka satu dasar luar telah diperkenalkan iaitu dasar pro-Barat.

            Dasar pro-Barat pada waktu tersebut dikatakan sebagai satu dasar yang sesuai untuk membantu Malaysia dalam dua aspek iaitu ekonomi dan pertahanan negara. Melalui dasar ini, ekonomi Malaysia menjadi mantap disebabkan menerima bantuan dari pihak Barat seperti bantuan modal dari negara Komanwel yang maju, bantuan teknikal dari ‘Rencana Colombo’ dan keuntungan secara tidak langsung melalui keanggotaan di dalam ‘kawasan Sterling’.[1] Kekuatan ekonomi pada masa tersebut telah membolehkan Tunku meningkatkan taraf hidup penduduk di Malaysia pada waktu tersebut. Malah Tunku juga melaksanakan pelbagai projek pembangunan seperti membina Masjid Negara, Stadium Negara, Bangunan Parlimen, Muzium Negara dan Tugu Kebangsaan.[2] Namun begitu, akibat kebergantungan yang terlalu kuat kepada Barat menyebabkan Malaysia tidak begitu popular dalam kalangan negara komunis dan negara Timur.

            Jika ditinjau dari aspek pertahanan pula, melalui dasar pro-Barat ini Malaysia dapat menjaga kedaulatan mereka sebagai sebuah negara yang merdeka disebabkan adanya perjanjian ketenteraan dengan negara Barat. Bagi Tunku perjanjian pertahanan dan ketenteraan dengan pihak Barat adalah satu tindakan yang tepat kerana Malaysia pada waktu itu tidak mempunyai pertahanan yang hebat. Kesannya, negara-negara serantau tidak berani untuk menyerang Malaysia dan pada masa yang sama pengaruh komunis juga dapat dibanteras. Secara tidak langsung perkara ini telah membawa kepada keamanan dan kesejahteraan bukan sahaja kepada negara ini tetapi juga negara serantau.

            Jika diteliti dengan lebih mendalam, dasar luar Tunku juga kebanyakan lebih mementingkan kepada keselamatan negara. Perkara ini dapat dilihat dengan satu lagi dasar beliau iaitu dasar anti komunis. Tindakan Tunku memperkenalkan dasar ini adalah suatu perkara yang wajar dan dapat difahami sekiranya diimbas daripada pengalaman Tanah Melayu yang pernah bergelut dengan ancaman Parti Komunis Malaya (PKM). Hal ini menyebabkan berlakunya kekejaman dan kemusnahan yang diakibatkan tindakan-tindakan subversif komunis. Sekurang-kurangnya tindakan Tunku pada waktu tersebut telah menyelamatkan Malaysia dari menjadi sebuah negara komunis pada masa hadapan dan dalam masa yang sama menjamin keamanan dan kestabilan negara.

            Seterusnya bagi mewujudkan sebuah dunia yang aman dan damai, Tunku juga telah memperkenalkan dasar kerjasama serantau. Dasar ini merupakan satu idea Tunku dalam memastikan keamanan di antara negara-negara serantau. Pengenalan dasar ini telah memberi peluang kepada Malaysia untuk menjalin hubungan diplomatik dengan negara-negara jiran. Oleh sebab itu, Malaysia mampu untuk menjaga kedaulatan negara disebabkan adanya dasar ini yang telah memastikan bahawa tiada pencerobohan yang boleh berlaku dari negara-negara sekitar Asia Tenggara. Hal ini telah mewujudkan sebuah dunia yang aman dan damai, yang mana rakyatnya dapat berkongsi keadilan dan kesaksamaan sebagai warganegara masing-masing.

          Seterusnya kita beralih pula kepada era Malaysia moden iaitu ketika pemerintahan Tun Dr. Mahathir. Dasar luar yang telah dibuat oleh beliau ketika itu ialah dasar anti-Barat yang merangkumi dua dasar iaitu Buy British Last dan Pandang Ke Timur. Keangkuhan Britain ketika itu umpama ‘kaki tak jejak tanah’ apabila masih lagi menganggap diri mereka sebagai ‘tuan’ di Tanah Melayu apabila tidak melayani negara Malaysia seperti sebuah negara merdeka. Maka sebab itu, Tun Dr. Mahathir telah menggertak pihak barat dengan memperkenalkan dasar Buy British Last. Cukup dengan dasar ini sahaja sudah mampu membuatkan negara Britain gelisah. Mereka bimbang akan mengalami kerugian ratusan juta andai benar kerajaan Malaysia meneruskan dasar tersebut.[3]

            Namun demikian, setelah dua tahun diperkenalkan, dasar ini telah dikaji semula setelah wujudnya perubahan sikap dari pihak London untuk memulihkan hubungan bilateral di antara kedua-dua negara. Hal ini ditambahkan lagi dengan nilai mata wang pound Britain yang telah merosot berbanding ringgit Malaysia pada tahun 1983.[4] Akibatnya, barangan dan perkhidmatan dari Britain menjadi lebih murah. Dalam kondisi ini, tidak realistik sekiranya Malaysia tidak mendapatkan barangan dan perkhidmatan dari Britain. Walau bagaimanapun, hasil daripada dasar ini, negara Barat sudah tidak pandang enteng lagi kepada kerajaan Malaysia. Semenjak itu, Malaysia telah mendapat keadilan yang sama rata dengan negara merdeka yang lain, tidak lagi dilayan seperti negara yang dijajah. Walaupun kecil tetapi tetap berbisa.

            Selanjutnya ialah dasar Pandang ke Timur (DPT). Pengenalan DPT telah menyebabkan Malaysia tidak lagi berpandukan kepada negara Barat semata-mata untuk mencapai kemajuan tetapi turut menjadikan negara Timur seperti Jepun dan Korea Selatan sebagai role model dalam kemajuan negara. Kesan pelaksanaan DPT telah menyebabkan pekerja Malaysia mula mengambil contoh nilai etika kerja yang baik dari negara tersebut. Hal ini secara tidak langsung telah mencapai tujuan sebenar Mahathir melaksanakan DPT iaitu mahu mengubah sikap orang Melayu supaya dikenali sebagai kaum yang kuat dan rajin bekerja (Khadijah, 2004). Tambahan pula, peningkatan pelaburan turut berlaku dari negara Jepun dan Korea.

            Pertambahan pelaburan ini telah dapat mengurangkan pengangguran kerana bertambahnya peluang pekerjaan. Hal ini mengakibatkan berlakunya pengurangan jurang kemiskinan kepada rakyat Malaysia. Selain daripada itu, Malaysia juga telah berjaya mengeluarkan kereta nasional sendiri iaitu Proton Saga dan kejayaan ini merupakan satu langkah untuk mengeluarkan jentera bergerak menggunakan hasil keluaran tempatan dengan sepenuhnya pada masa akan datang. Malahan, kemudahan asas dengan bantuan kepakaran dari Jepun dan Korea juga telah dibina dengan baik untuk kebaikan rakyat. Sebagai contoh, pembinaan Jabatan Pulau Pinang, Lebuh-raya Utara Selatan, dan bangunan Daya Bumi di bina berdasarkan kepakaran luar yang mengekalkan ciri-ciri ketimuran. Ini secara tidak langsung telah meningkatkan imej negara di persada dunia.

            Walaupun demikian, DPT ini turut mempunyai kontranya sehinggakan telah dikritik hebat oleh ahli akademik. Antara kritikan yang dilemparkan terhadap DPT ialah ia hanya menguntungkan Jepun dan merugikan Malaysia. Hal ini kerana, dasar itu telah memudahkan penguasaan banyak bidang ekonomi Malaysia oleh kepentingan Jepun dan menjadi cek kosong yang membolehkan Jepun melakukan serangan kedua ke atas negara ini selepas serangan pertama pada perang Dunia Pertama (John Saravanamuttu, 1983). Perkara ini kemudiannya disokong pula oleh Lindal Golley yang berpendapat bahawa dasar ‘pandang ke Timur’ telah memudahkan penjajahan ekonomi Jepun ke atas Malaysia. Hal ini berpunca daripada perdagangan Jepun-Malaysia yang tidak ada perubahan besar. Barangan siap Malaysia tetap menghadapi masalah untuk menembusi pasaran Jepun, manakala barangan siap Jepun mudah memasuki Malaysia. Menjadikan Malaysia kekal sebagai pengimport barangan siap Jepun.

            Bagi dasar luar terakhir Tun Dr. Mahathir yang ingin saya rumuskan ialah dasar Kerjasama Selatan. Kesan wujudnya dasar ini telah membolehkan negara-negara Selatan yakni negara-negara membangun meningkatkan kerjasama ekonomi sesama mereka kerana negara maju tidak boleh diharapkan untuk menyusun semula struktur ekonomi antarabangsa. Keadaan ini sekurang-kurangnya telah memberi peluang kepada negara-negara Selatan untuk membebaskan diri dari penjajahan yang dibuat secara tidak langsung iaitu penjajahan ekonomi dari negara maju. Maka pengagihan ekonomi di antara dunia dapat ditegakkan di antara negara-negara Selatan dan negara maju.




[1] Faridah Jaafar, Perdana Menteri dan Dasar Luar Malaysia 1957-2005, hlm. 33-34.
[2] Annchi, “Sumbangan Tunku Abdul Rahman dalam bidang ekonomi”, artikel diakses pada 3 September 2016 dari http://6062013.blogspot.my/2013/06/sumbangan-tunku-abdul-rahman-dalam_6.html
[3] The Patriots, “Buy British Last”, diakses pada 3 September 2016 dari http://www.thepatriots.my/buy-british-last/
[4] Faridah Jaafar, Perdana Menteri dan Dasar Luar Malaysia 1957-2005, hlm. 151

Related : Ulasan Kritis: Dasar Luar Malaysia (Era Tunku Abdul Rahman dan Tun Dr. Mahathir)

0 Komentar untuk "Ulasan Kritis: Dasar Luar Malaysia (Era Tunku Abdul Rahman dan Tun Dr. Mahathir)"