Melaka
pada suatu dahulu merupakan sebuah kerajaan yang gah dan mempunyai empayar yang
luas sehingga dikenali serantau dunia. Perkara ini telah terbukti melalui
catatan yang dibuat oleh Tome Pires;
Negeri Melaka tersangat
masyhur dan berfaedah sehingga pada pendapat saya tidak ada bandingannya di
dalam dunia… ia adalah sebuah Bandar raya tempat memasarkan barang-barang dagangan
yang lebih sesuai daripada bandar raya yang lain di dunia
|
Kejayaan yang ditempa oleh kerajaan
Melaka bukanlah datang begitu sahaja tetapi disebabkan oleh adanya Hukum Kanun
Melaka dan Undang-undang Laut Melaka. Misalnya Hukum Kanun Melaka merupakan
satu dokumen yang mengandungi 44 fasal berkaitan kuasa dan pemerintahan raja
dan pembesar, pantang larang di kalangan anggota masyarakat, hukuman ke atas
kesalahan jenayah dan awam, undang-undang dan sebagainya. Tujuan Hukum Kanun
Melaka digubal adalah sebagai panduan untuk mengatur dan menjalankan
pemerintahan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.
Manakala, bagi undang-undang Laut Melaka
pula mengandungi 24 Fasal dan empat bahagian dan merupakan sebahagian daripada
Hukum Kanun Melaka. Di dalam undang-undang Laut Melaka ia lebih berfokus kepada
undang-undang yang melibatkan perkara di atas kapal yang berlayar di laut.
Antara perkara yang disentuh ialah mengenai tanggungjawab pengawal kapal, atur
cara pelayaran dan perniagaan, bidang kuasa nakhoda kapal dan hukuman bagi
kesalahan jenayah. Persamaan yang ada di antara kedua-dua kanun ini ialah
mempunyai unsur-unsur agama Hindu yang dicampur-adukkan dengan unsur-unsur
agama Islam
Yang pertama, menurut Fasal 1 di dalam Hukum Kanun Melaka telah
dinyatakan larangan rakyat biasa memakai pakaian kekuningan dan lain - lain.
Sesiapa sahaja yang melanggar peraturan ini akan dibunuh. Perkara ini telah
dibuktikan di dalam Teks Sejarah Melayu edisi A. Samad Ahmad halaman 70;
Syahadan
bagindalah yang pertama-tama meletakkan “kekuningan larangan”; tidak dapat
dipakai orang keluaran, dan diambil akan sapu tangan; dan tiada dapat
dibuat tepi tabir dan ulasan bantal besar dan tilam, dan bungkus barang
apa-apa, dan akan karang-karangan benda; dan tiada dapat diambil akan
perhiasan rumah; dan lain daripada itu pun tiada juga dapat, melainkan
kain, baju, dan destar, tiga perkara itu jua yang dapat dipakai.
|
Berpandukan kepada teks di atas yang
terkandung di dalam Sejarah Melayu, larangan rakyat untuk memakai pakaian
berwarna kekuningan dan lain – lain telah diguna pakai semenjak pemerintahan
Sultan Muhammad lagi. Pada ketika ini orang keluaran ataupun lebih mudah
dipanggil rakyat biasa telah dilarang untuk menggunakan warna kuning keemasan untuk
dijadikan sapu tangan, ulasan bantal besar atau tilam, sebagai pembungkus
barang-barang, karangan-karangan benda ataupun sebagai perhiasan rumah dan
sebagainya kecuali dijadikan kain, baju dan destar.
Persoalannya apakah kesan yang boleh
dilihat melalui Fasal 1 yang telah diperkenalkan di dalam Hukum Kanun Melaka
ini? Adakah penggunaannya telah membawa dan menolong dalam mencapai
kegemilangan kerajaan Melayu Melaka seperti yang digambarkan oleh Tome Pires?
Merujuk kepada persoalan di atas, segala fasa yang terkandung di dalam Hukum
Kanun Melaka yang kesemuanya mengandungi 44 fasal dan salah satunya ialah fasal
satu iaitu larangan rakyat memakai pakaian warna kekuningan dan lain – lain
telah menjadi penyumbang kepada lahirnya kerajaan Melaka yang gemilang dan
efisien
Hal ini disebabkan dengan adanya fasal tersebut maka ia telah menggambarkan bahawa adanya sistem yang mempertahankan perbezaan sosial di antara raja iaitu pemimpin dan rakyat biasa. Perbezaan sosial adalah suatu perkara yang penting kerana melaluinya rakyat dapat mengetahui dengan lebih jelas apakah tanggungjawab dan peranan sebagai seorang pemimpin yakni raja dan pembesar, mengapa mereka diberi kelebihan dan apakah tanggungjawab yang perlu digalas sebagai rakyat. Apabila wujudnya pemahaman mengenai tanggungjawab masing-masing, maka satu hubungan yang aman dan harmoni akan tercipta dengan sendirinya di antara pemimpin dan rakyat. Hasilnya, ia akan memberi kelebihan kepada raja dan pembesar untuk menjalankan tugas mereka dengan adil dalam membentuk sebuah kerajaan yang gemilang dan dalam masa yang sama memberi keselesaan kepada rakyat untuk sama-sama membantu dalam membangunkan kerajaan yang gemilang. Perkara ini telah dibuktikan semasa pemerintahan Sultan Muhammad seperti yang tercatat di dalam teks Sejarah Melayu halaman 75;
Sultan
Muhammad Syah selama di atas kerajaan, terlalu sekali adil baginda
memeliharakan segala manusia. Maka negeri Melaka pun besarlah, dan jajahannya
pun makin banyaklah; yang arah Barat hingga Beruas Ujung Karang, arah ke timur
hingga ke Trengganu. Maka masyhurlah pada segala negeri dari bawah angin datang
ke atas angin bahawa negeri Melaka terlalu besar, lagi dengan makmurnya.
Selain itu, berdasarkan analisis yang
telah saya buat, fasal satu juga adalah satu fasal bagi memupuk semangat
kesetiaan rakyat kepada golongan pemerintah. Andai kata rakyat dapat mengikut
peraturan yang telah dibuat ini, maka kesetiaan rakyat terhadap pemerintahnya
terbukti. Apabila rakyat setia, maka ia memudahkan para pemerintah untuk
melakukan kerja-kerja pemerintahan. Namun dalam masa yang hukuman bunuh yang
dikenakan terhadap rakyat yang melanggar peraturan walaupun dilihat sebagai
hukuman yang kejam, namun dianggap sebagai satu perkara yang efektif semasa
zaman Kesultanan Melaka. Hal ini disebabkan dengan adanya hukuman tersebut,
maka kedaulatan institusi istana dan pembesar Melayu semakin bertambah. Tanpa
disedari, keagungan kedaulatan Sultan Melaka telah tersebar luas sehingga
menyebabkan Melaka masyhur di serantau dunia.
Seterusnya di dalam Hukum Kanun Melaka
turut terkandung Fasal 13.2 yang
membicarakan mengenai hukuman orang yang mencuri atau menyembunyikan hamba
orang. Hukuman mengenai mencuri
telah dicatat di dalam teks Sejarah Melayu pada halaman 163.
Maka
Sultan Alau’d-Din dengan Hang Isap pun pergilah mengikut pencuri lima orang itu, maka segala
pencuri itu pun lari ke Bukit Melaka, maka diikuti baginda ke atas bukit,
bertemu di nagara bukit itu; maka baginda pun bertempik, lalu diparang
baginda seorang, kena pinggangnya putus seperti mentimun, penggal dua. Maka
yang empat orang itu lari ke jambatan, diperturut oleh baginda; datang ke
bawah bodi, maka keempatnya berbalik menghadapi Sultan Alau’d Din. Maka
dibunuh baginda pula seorang lagi, maka yang tiga orang itu lari.
|
Berdasarkan teks di atas, dapatlah kita
mengetahui bahawa hukuman terhadap pencuri telah berlaku semasa pemerintahan
Sultan Alau’d-Din Riayat Syah. Kes kecurian yang berlaku setiap masa ketika itu
telah menyebabkan keamanan di negeri Melaka tergugat. Disebabkan oleh itu,
baginda sendiri telah mengambil langkah untuk menyamar di malam hari dengan
hanya ditemani oleh Hang Isap. Ketika meronda, baginda sendiri telah
terserempak dengan pencuri, dan pada masa tersebutlah hukuman dikenakan ke atas
pencuri iaitu hukuman bunuh. Menjelang waktu pagi, telah tersebar berita bahawa
mayat-mayat pencuri telah ditemui di bandar Melaka. Berita mengenai kematian
pencuri-pencuri telah tersebar luas dan telah menyebabkan pencuri yang pada
awalnya merancang untuk mencuri telah membatalkan hasrat mereka. Semenjak
berlangsung hukuman bunuh ke atas pencuri, kadar jenayah semakin berkurangan di
negeri Melaka. Keamanan telah kembali di Melaka dan membolehkan Melaka kembali
menjadi sebuah negeri yang maju.
Walau bagaimanapun, hukuman bunuh yang
dikenakan kepada pencuri pada awalnya telah diubah kepada hukuman “kudung
tangan” iaitu setelah Sultan Alau’d-Din menggunakan kaedah hukum Hudud yakni
hukuman yang berlandaskan syariat Islam. Di dalam Islam, pencuri yang didapati
bersalah akan dikenakan hukuman potong tangan iaitu sampai batas pergelangan
tangan kanan dan harta yang dicuri wajib dikembalikan semula kepada pemiliknya.
Perkara ini terbukti berlaku semasa pemerintahan baginda berdasarkan teks
Sejarah Melayu halaman 163;
Maka
titah baginda pada Seri Maharaja: Jikalau orang mendapat harta orang, jika
tiada dipulangkan pada yang empunya, disuruh baginda kudung tangannya:
jikalau tiada bertemu empunya harta, ke balai itulah dihantarkan.
|
Kesan daripada pengamalan fasal 13.2
yang terkandung di dalam Hukum Kanun Melaka ini telah menyebabkan kadar
kecurian yang berlaku boleh dikatakan mencecah sifar. Ketegasan dan keadilan
Sultan Alau’d-Din dalam perkara ini telah membolehkan penduduk di dalam negeri
Melaka hidup dengan aman dan sentosa kerana tiada lagi ancaman yang boleh
menggugat ketenteraman seperti kecurian. Keamanan daripada sang pencuri
menyebabkan ramai pedagang dari atas dan bawah negeri berdagang kerana
kekhuatiran akan kehilangan barang dagangan sudah tidak berlaku. Jadi boleh disimpulkan
bahawa pengamalan fasal 13.2 iaitu hukuman orang yang mencuri dan
menyembunyikan hamba orang yang terkandung di dalam Hukum Kanun Melaka menjadi
satu pencetus kepada lahirnya kerajaan Melaka yang gemilang dan efisien.
Jika tadi Hukum Kanun Melaka menjadi
sumber rujukan untuk hukum-hukum di darat sekarang kita akan beralih pula
kepada Undang-undang Laut Melaka yang menjadi sumber kepada semua permasalahan
yang berlaku di laut. Melaka suatu masa dahulu adalah sebuah kerajaan yang
agung disebabkan oleh kegiatan perdagangannya yang pesat. Oleh sebab itu, satu
undang-undang telah dirangka yang dinamakan sebagai Undang-undang Laut Melaka
dalam memastikan semua perkara yang berkaitan dengan kelautan akan dapat
diselesaikan tetapi dalam masa yang sama membantu kerajaan Melaka menjadi satu
pelabuhan entrepot serta membolehkan Melaka meluaskan jajahan takluknya.
Salah satu fasal yang ada di dalam
Undang-undang Laut Melaka ialah fasal
satu iaitu mengenai tugas nakhoda serta awak kapal. Nakhoda pada asasnya
tidak terlibat dalam organisasi dan pentadbiran awam di Melaka lantaran tugas
yang lebih penting di atas kapal, namun setelah Melaka menjadi sebuah pelabuhan
entrepot dan pusat perdagangan antarabangsa yang masyhur, fungsi yang dimainkan
oleh para nakhoda dalam organisasi perdagangan dan perkapalan di Melaka telah
menjadi amat penting sekali. Hal ini telah dinyatakan di dalam teks Sejarah
Melayu;
Tuan
kita, Sultan Mahmud Syah memberi titah menitahkan hukum ini, maka datanglah
kepada/sekarang ini, turun kepada anak cucunya pun menurut hukum ini, dan
tiada lagi bersalahan, semuanya mengikut hukum ini, dan jikalau tiada
diikuti hukum ini salah kepada segala negeri nazarnya kerana hukum ini di
laut, di laut juga sudahnya dan hukum di darat, di darat juga sudahnya.
Sebab disebutkan hukum ini supaya jangan lagi memakai hukum hawa nafsunya
yang tiada diperkenankan Allah subhanahu wa taala. Lagi kehendaknya hukum
ini supaya mereka itu sekalian malu dan sopan di dalam laut kepada segala
nakhodanya kerana nakhoda itu, di dalam laut, raja ia ; sudah diadatkan
khalifah al-mukminin yang kerajaan di dalam negeri Melaka pada zaman
purbakala itu, jikalau kanak-kanak sekalipun nakhoda itu, kerana sudah
teradat di dalam jongnya dan baluknya
|
Apabila dilihat frasa di atas, memang
jelas menunjukkan kedudukan nakhoda sewaktu mengemudi pelayaran adalah satu
perkara yang amat penting. Nakhoda, walau siapa pun ia, telah ditamsilkan
sebagai seorang raja di atas kapalnya, seperti juga halnya seorang raja di
darat. Hal ini kerana kapal boleh diibaratkan seperti negara, jika adanya
seorang raja yang mampu mengawal negaranya dengan baik maka akan ke hadapan lah
negara tersebut begitu juga dengan kapal, jika ada nakhoda yang mengemudi-nya
dengan betul maka akan sampailah kapal tersebut ke destinasi yang diingini.
Walau bagaimanapun, di dalam fasal ini bukan tugas nakhoda sahaja yang disebut
tetapi peranan awak kapal turut dinyatakan sebagai pelaksana kepada arahan yang
diberikan oleh nakhoda.
Fasal satu yang ada di dalam
Undang-undang Laut Melaka ini telah memberi pemahaman kepada nakhoda dan awak
kapal mengenai peranan masing-masing. Kerjasama yang wujud di antara dua pihak
ini telah menjamin keamanan dan keselamatan di atas kapal. Perkara ini secara
tidak langsung memudahkan suatu perjalanan lancar dan mengikut hasrat yang
diinginkan. Sebagai contoh, semasa pelayaran, kebiasaannya masa yang diambil
untuk sampai ke destinasi adalah panjang, jadi tidak mustahil akan berlaku
kejadian seperti gelombang laut dan ancaman serangan lanun, ancaman daripada
anak kapal sendiri yang melakukan perbuatan derhaka, khianat, mencuri, bergaduh
dan sebagainya. Oleh itu, kekuasaan diberi kepada nakhoda bagi menjamin perkara
ini dapat dielakkan. Kejayaan nakhoda dalam mengemudi akan menjadi penanda aras
kepada kejayaan sesuatu pelabuhan seperti yang dapat kita lihat di pelabuhan
Melaka.
Di samping itu, di dalam undang-undang
Laut Melaka turut terkandung fasal kedua
iaitu hukum orang yang berzina. Di dalam fasal ini, telah dinyatakan bahawa
hukuman orang yang berzina ialah bunuh. Tetapi kalau bujang sama bujang, mereka
ini akan didera dahulu barulah dikahwinkan. Perkara ini bersamaan dengan frasa
yang ada di dalam manuskrip Undang – undang Laut Melaka;
Bermula
hukum atas segala orang yang berzina dalam jong atau baluk. Jikalau ia
merdeheka (ada isteri sama ada merdeheka atau tiada, maka ia berbuat zina
dengan isteri sama merdeheka dalam jong itu, maka) dibanyak-banyaki oleh
nakhoda, dibunuh keduanya.
|
Berdasarkan teks di atas, sejauh
manakah fasal kedua yang ada di dalam Undang-undang Laut Melaka ini mampu
melahirkan kerajaan Melaka yang gemilang dan terbilang ini? Kesan penggunaan
undang-undang ini telah berjaya menghalang daripada berlakunya maksiat yang
mana merupakan satu perkara yang amat dilarang di dalam Islam. Hal ini
disebabkan kepercayaan agama yang tinggi di dalam kalangan penduduk dan
pemerintah ketika itu terhadap agama Allah. Masyarakat Melaka ketika itu amat
mempercayai bala yang datang daripada Allah sekiranya mereka melakukan perkara
mungkar. Hasilnya, masalah sosial bukan sahaja tidak berlaku di atas daratan
malah juga di lautan. Keberkatan dan rahmat daripada Allah menjadi satu
penyebab kepada kejayaan kerajaan Melaka.
Tambahan lagi, fasal ini juga dirangka sebagai
satu langkah pencegahan untuk mengelak daripada berlakunya penularan
penyakit-penyakit bahaya. Zina tanpa disedari merupakan satu medium kepada
penyebaran penyakit berbahaya seperti siflis, AIDS/HIV dan pelbagai lagi. Andai
kata hukuman ke atas penzina tidak dijalankan seperti yang terkandung di dalam
Undang-undang Laut Melaka, tidak mustahil gejala ini akan berleluasa dan boleh
mengakibatkan merebaknya penyakit berbahaya. Perkara sebegini boleh memberi
ancaman kepada kerajaan Melaka ketika itu. Apabila sesebuah negeri diancam
dengan wabak penyakit maka negeri tersebut akan berada dalam keadaan mundur dan
porak-poranda. Namun disebabkan adanya undang-undang Laut Melaka segala
permasalahan ini dapat diatasi.
Kesimpulannya,
ternyata benarlah bahawa fasal-fasal yang terkandung di dalam Hukum Kanun
Melaka dan Undang-undang Laut Melaka telah menjadi satu panduan kepada
pemerintah terdahulu dalam menjalankan pemerintahan dalam pentadbiran di
Kesultanan Melayu Melaka. Bertitik tolak daripada dua kanun inilah yang telah
berjaya membantu dalam melahirkan sebuah kerajaan Melaka yang gah di persada
dunia suatu ketika dahulu sehingga tercatat di dalam catatan Tome Pires yang
kemudiannya menjadi soalan tugasan kepada saya untuk menganalisnya.
1 Komentar untuk "Ulasan Kritis: Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka melahirkan Kerajaan Melaka yang Gemilang dan Efisen"
Hebat hebat (Amir, 2016)